KOTA BHARU: “Saya macam tidak percaya apabila menyaksikan sebuah kereta tiba-tiba ‘terbang’ dari tingkat atas sebelum jatuh ke atas tangga bergerak di ruang legar kompleks,” kata Mohd Jawaidi Mohd Zain, 23.
Penolong Pengurus Kyros Kebab itu berkata, sebelum kejadian dia sibuk melayan pelanggan di premisnya di ruang legar berhadapan tangga bergerak berkenaan.
Katanya, tiba-tiba dia terdengar bunyi seperti bangunan runtuh sebelum terlihat sebuah kereta Ford Laser jatuh dari tingkat atas lalu menghempap tiga wanita di tempat kejadian.
“Saya dan pelanggan tergamam sebelum lari menyelamatkan diri,” katanya.
Kejadian kira-kira jam 5 petang itu berlaku apabila kereta di tingkat tiga parkir kereta pasar raya KB Mall di sini, hilang kawalan sebelum merempuh dinding dan terjunam ke bawah dari ketinggian lebih 18 meter lalu menghempap tiga penuntut Kolej Kejururawatan Masterskill cawangan bandar ini.
Kejadian itu menyebabkan dua daripada pelajar berkenaan iaitu Siti Nor Amira Shamsuddin, 19, mati di tempat kejadian manakala Siti Nordiana Azman, 18, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Seorang lagi pelajar kolej itu, Rashidah Ahmad Lufti, 24, dan pemandu kereta itu, Nor Ain Said, 19, cedera parah.
Suasana mencemaskan itu menyebabkan aktiviti perniagaan lebih 40 premis di pasar raya terbabit terpaksa dihentikan bagi memberi laluan kepada lapan anggota bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim dan Kota Bharu melakukan tugas menyelamat.
Kejadian turut menyebabkan Jalan Hamzah berhampiran sesak teruk kira-kira dua jam apabila sekitar bangunan pasar raya itu dipenuhi hampir 2,000 orang awam yang mahu melihat keadaan itu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah, berkata kejadian berlaku apabila kereta dipandu Nor Ain Said, 19, bersama adiknya, Nor Atikah, 17, hilang kawalan ketika ditolak seorang lelaki dikenali sebagai Sabri, 27, bagi menghidupkannya.
Menurutnya, kereta berkenaan tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh dinding lubang angin di tingkat tiga dan menghempap tiga penuntut kolej berkenaan.
“Siti Nor Amira dan Rashidah di temui di tangga bergerak, manakala Nordiana terpelanting ke bawah,” katanya.
Menurutnya, Nor Ain dihantar ke HRPZ II untuk rawatan lanjut, manakala Sabri dan Nor Atikah dipercayai melarikan diri dan gerakan mengesan mereka bagi membantu siasatan sedang dilakukan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
No comments:
Post a Comment